Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali diiringi anggota polis berjalan keluar selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 23 Mei ini bagi keputusan permohonan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali Bella.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan tersebut sebelum membuat ketetapan untuk memutuskan keputusan pada minggu depan.

Siti Bainun diwakili peguam bela, Ahmad Faiz Munawar dan Mohammad Farhan Maaruf dan pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zilfinas Abbas.

Ketika memfailkan permohonan menangguh hukuman penjara sebelum ini, Siti Bainun berkata, beliau mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu selain menanggung seorang ibu tua sakit.

Pada 3 Mei lepas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama kepada Sitri Bainun kerana mengabaikan kanak kanak itu manakala penjara 12 tahun untuk pertuduhan kedua kerana menganianya.

Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – MalaysiaGazette