Fuziah Salleh menyampaikan replika cek kepada penerima Pertubuhan Dapur Infaq di Kuantan, Pahang.

KUANTAN- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam proses mengenal pasti penerima subsidi bersasar minyak masak yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, peniaga kecil dalam sektor makanan disaran mendaftar dengan SSM bagi melayakkan mereka menerima subsidi minyak masak bersasar apabila dilaksanakan nanti.

”KPDN kini dalam proses mengenal pasti penerima subsidi bersasar minyak masak terutama industri makanan membabitkan minyak masak paket.

“Pada ketika ini minyak masak dijual secara pukal di pasar raya dan kita sedang mengenal pasti penerima yang layak,” katanya selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) peringkat Pahang di Bandar Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Seramai 400 usahawan menyertai program yang bertujuan untuk memberikan sokongan, bimbingan dan peluang kepada usahawan bagi memperkukuhkan perniagaan.

Fauziah berkata, kini terdapat lebih sejuta peniaga kecil yang terbabit dalam perniagaan makanan seperti keropok lekor, ayam gunting, karipap dan udang celup tepung yang layak menerima subsidi bersasar minyak masak.

“Jika mereka daftar sebagai peruncit, peniaga secara dalam talian dan baju, mereka tidak layak.

”Justeru peniaga kecil diminta mengambil peluang ini dengan mendaftar untuk mendapat manfaatnya,” katanya. – MalaysiaGazette