Anatara beberapa kenderaan yang rosak akibat dihempap pkok susulan hujan lebat dan ribut di ibu negara. Foto Ihsan JBPMKL.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 buah kenderaan membabitkan lapan kereta dan lima motosikal rosak akibat dihempap pokok susulan ribut yang melanda beberapa kawasan di sekitar ibu negara, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pokok tumbang di 10 lokasi dari jam 7.30 hingga 8 malam tadi.

“Di Jalan Sultan Ismail, sebatang pokok tumbang menghempap dua buah kereta Toyota Yaris dan Proton Exora manakala di Taman Bukit Angkasa pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Myvi.

“Empat buah kereta dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ayer Jernih, Setapak dan sebuah Toyota Alphard turut dihempap pokok tumbang di Bayu Mont Kiara, Sri Hartamas.

“Sementara itu, lima motosikal dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Pejabat Kesihatan Kepong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebuah kereta dihempap pokok tumbang di Kg Attap, KL. Foto Ihsan JBPMKL.

Tambah kenyataan itu, antara kawasan lain yang terbabit ialah Kampung Attap, Flat Danau Kota, Jalan Sultan Ismail, dan Jalan Ampang.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan buat masa ini dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan. – MalaysiaGazette