Ahmad Maslan

PONTIAN – Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Cukai Pendapatan berhubung pentadbir atau pewaris harta kepada pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia untuk membayar cukai si mati.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan menimbulkan kebimbangan kepada pewaris dan pentadbir harta jika akta tersebut dipinda dan ia mungkin menurunkan motivasi untuk menjelaskan cukai.

“Akta yang ada setakat ini, dikekalkan dan belum ada sebarang pindaan. Kita berpandangan jika tidak dibuat, ada pihak tidak bertanggungjawab tidak membayar cukai dan tunggu dirinya mati. Maka, kemungkinan besar ia tidak memberi motivasi untuk membayar cukai kepada LHDN.

“Perkara itu sudah ada dalam akta LHDN, tetapi LHDN memaklumkan kepada jumlah yang dikenakan kepada pendapatan sehingga kematian yang perlu dicukaikan. Oleh itu jika mempunyai keupayaan hasil daripada harta si mati eloklah bayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perjumpaan Raya Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Sari Benut, di sini, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu pembayaran tunggakan cukai pendapatan pembayar cukai yang meninggal dunia.

Mesyuarat berkenaan bagi mencari kesepakatan susulan pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak, berhubung undang-undang menuntut wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati.

Pada 11 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia. – MalaysiaGazette