Lokasi kejadian mangsa meninggal dunia selepas tercampak dalam longkang sedalam kira-kira dua meter di Jalan One Krubong, di sini, hari ini.

MELAKA – Seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam nahas di Jalan One Krubong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Nur Shamira Fazila, 25, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak dalam longkang sedalam kira-kira dua meter.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Sebaik tiba di selekoh Jalan One Krubong berhampiran sebuah poliklinik, mangsa yang berada di lorong kiri tiba-tiba terbabas ke bahu jalan mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam longkang.

“Mayat mangsa kemudian telah dibawa keluar dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka,” katanya.

Tambah Christopher, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette