SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai perkhidmatan sebuah agensi dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin selepas disyaki menerima wang habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat sebagai upah meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) bernilai RM1.3 juta.

Lelaki berusia dalam lingkungan lewat 20-an itu ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira jam 4 petang, semasa diminta hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu di antara tahun 2021 hingga 2022 menerusi seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi malam tadi mengesahkan tentang tangkapan ke atas suspek tersebut.

Kata beliau, kes berkenaan sedang disiasat oleh SPRM di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette