Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan penganjuran konsert kumpulan muzik Coldplay dan aksi Harimau Malaya bagi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil November ini berjalan dengan baik.

Menterinya  Hannah Yeoh berkata, beliau sudah berbincang dengan Presiden  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung penggunaan stadium itu menjelang kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 dan konsert kumpulan muzik dari United Kingdom itu pada bulan yang sama.

“Isu stadium selalu kita akan imbangkan antara sukan bola sepak dan konsert, kita telah bincang beberapa pilihan tapi saya tak nak umum pilihan ini dulu.

“Kita akan tunggu undi (kelayakan Piala Asia 2027) yang Datuk Hamidin akan dapat bulan Julai nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023, di sini, hari ini.

Semalam, Hamidin menerusi kenyataan menjelaskan bahawa insiden tarikh konsert dan aksi Harimau Malaya yang bertindih tidak boleh berlaku kerana FAM telah membuat tempahan awal kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengikut tarikh perlawanan skuad kebangsaan yang dijadual dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa  (FIFA).

Tarikh kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 dan konsert itu masing-masing dijangka berlangsung pada 16, 21 dan 22 November depan.

Isu sama pernah berlaku pada Januari lalu apabila penyokong bola sepak tanah air berang selepas 21,000 tempat duduk bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di stadium itu terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pentas konsert penyanyi terkemuka dari Taiwan, Jay Chou. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast