Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka tidak mendapat maklumat mengenai spekulasi seorang wakil rakyatnya sedang mengintai peluang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh  tidak tahu menahu mengenai dakwaan itu seperti dilaporkan media hari ini.

“Saya tak tahu lagi, kita dalam proses nak bina (kemajuan) negeri. Tak apa, kita (BN) mempunyai majoriti yang agak baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub hanya mengalu-alukan wakil rakyat BN untuk menyertai parti itu sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mahu membantu rakyat.

PN, katanya, bukan parti untuk mereka yang mahu menyelamatkan diri atau mengharapkan jawatan selepas tidak mendapat tempat dalam parti sendiri.

Jailani yang juga bekas Exco Melaka ketika pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri sebelum ini tidak dicalonkan semula menjadi Exco selepas Ab Rauf  mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac lalu.

Sebelum ini, Jailani menyifatkan pelantikan Ab Rauf sebagai ketua menteri menggantikan Sulaiman adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

Pada Mac 2020, Jailani antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Beliau sebelum ini adalah pemimpin daripada PKR daripada gabungan PH dan telah mengambil keputusan untuk keluar parti sebelum menyokong kerajaan campuran BN dan PN di Melaka.

Pada 2021, Jailani kembali menyertai UMNO selepas lima tahun meninggalkannya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 menyaksikan BN menang besar apabila memperoleh memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette