Philip Benedict (duduk) menyerahkan kerusi roda kepada pesakit, Bibiana Amandus sambil disaksikan Syaiful Rizal (kiri)

PENAMPANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 sekolah rendah dan menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang bermula sejak Mac lalu.

Peruntukan itu melibatkan 52 sekolah kebangsaan (SK) dan lapan sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menerima bantuan berkenaan melalui program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Bantuan itu melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan asnaf dan keluarga B40 yang bertujuan membantu meningkatkan akademik murid dan pelajar untuk sesi persekolahan tahun 2023.

Penyerahan bantuan disempurnakan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick di Dewan Sekolah Menengah (SM) St. Michael, Penampang, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang; Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR yang juga Ahli lembaga Pengarah Bank Rakyat, Prof. Dr. Raduwan Idar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Sektor Perancangan, Marcella Sikijip.

Dalam ucapan majlis itu, Ewon berharap bantuan itu dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid dan pelajar melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baharu.

Beliau mengucapkan terima kasih dan menyatakan sokongan dengan inisiatif YBR, di samping berharap lebih banyak entiti korporat serta organisasi lain turut sama menghulurkan bantuan seperti itu tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit.

“Syarikat korporat dan NGO perlu sama mengambil berat terhadap golongan memerlukan ini kerana bantuan mereka adalah untuk memartabatkan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Philip Benedict dalam ucapannya turut berkata, bantuan YBR itu dibahagikan kepada dua lokasi yang dikenalpasti iaitu sekitar Penampang dan Kadamaian.

Kata beliau, bantuan yang disalurkan kepada sekolah itu diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan motivasi membantu murid dan pelajar sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat.

Jelasnya, usaha itu juga menjadi salah satu strategi YBR membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat di Sabah.

Sepanjang tahun lalu, seramai 26,604 murid dan pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta melibatkan 87 lokasi dengan kira-kira hampir RM900,000 pemberian sumbangan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Bantuan itu untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Dalam majlis berasingan, seramai 31 warga emas sekitar Penampang dan Kota Belud menerima bantuan kerusi roda serta katil yang disampaikan Menteri KUSKOP.

Ewon berharap, bantuan itu dapat melancarkan aktiviti harian dan menjadikan kehidupan mereka lebih produktif.

Ewon (tiga dari kiri), Philip Benedict (dua dari kiri) dan Syaiful Risal (kiri) dalam majlis penyampaian bantuan awal persekolahan di Penampang, Sabah.

Seorang penerima bantuan, Bibiana Amandus Madani mengakui bantuan itu sangat bermakna kepada dirinya dan juga mereka yang senasib dengannya.

Bibiana yang menderita sakit angin ahmar terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk membolehkannya bergerak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast