Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang barista wanita  kerugian RM6,500 selepas menjadi mangsa samun di sebuah pangsapuri di Sentul Utara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mangsa dirompak oleh suspek bertopi keledar dan bersenjatakan pisau..

Katanya, kejadian berlaku pada 19 Mei yang lalu jam lebih kurang 10 malam ketika mangsa yang berusia 30 tahun menaiki lif untuk pulang ke rumahnya yang terletak di tingkat 5 pangsapuri tersebut.

“Tiba-tiba mangsa didatangi seorang lagi lelaki bertopi keledar warna biru telah masuk ke dalam lif yang sama dan keluar di tingkat 4.

“Setibanya di tingkat 5 dan semasa mangsa sedang berjalan keluar dari lif menuju ke rumahnya, tiba-tiba lelaki yang keluar di tingkat 4 muncul di hadapan mangsa sambil mengacukan pisau ke perut mangsa.

“Lelaki tersebut meminta mangsa mengeluarkan semua barang miliknya iaitu
sebuah telefon bimbit, kad bank dan dokumen peribadi yang bernilai anggaran lebih kurang RM 6,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian samun tersebut.

“Bertindak atas kejadian itu, polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek.

“Suspek dipercayai seorang lelaki tempatan anggaran ketinggian 160 sentimeter  dan berat anggaran 70 kilogram disyaki telah melarikan diri dengan barang yang disamun daripada mangsa menaiki sebuah motosikal yang tidak pasti jenisnya.

“Ketika kejadian itu, suspek telah memakai baju dan seluar hujan berwarna hitam yang mempunyai garisan biru pada baju,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai berkenaan identiti suspek untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Sentul di talian 03-40482222.-MalaysiaGazette