Che Tom menunjukkan gambar Muhammad Hawari yang dikirimnya dalam perjalanan menawan gunung Everest.

KEPALA BATAS – Keluarga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang dilaporkan hilang kekal positif bahawa Muhammad Hawari Hashim yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu akan pulang ke pangkuan mereka dalam keadaan selamat.

Ibu mangsa, Che Tom Hassan, 64, berkata, mereka hanya mengetahui berita kehilangan anak ketiga daripada lima beradik itu menerusi media sosial pagi semalam.

Meskipun terkejut dengan berita kehilangan anaknya termasuk tiada perkembangan lanjut mengenai operasi pencarian namun mereka tetap yakin Muhammad Hawari akan kembali kepada keluarga dengan selamat.

Che Tom.

“Selepas mengetahui Warie (mangsa) hilang, kami sekeluarga berkumpul di sini bersama-sama isteri dan dua anaknya untuk menantikan perkembangan mengenai operasi pencarian.

“Warie merupakan individu jenis bersemangat dan kompetitif sejak kecil. Malah, ketika di bangku sekolah lagi, dia memang aktif dan suka masuk pertandingan, selain akan memastikan kemenangan berpihak padanya.

“Saya amat berharap yang Warie baik-baik saja walaupun diri sendiri tidak lena tidur mengenangkan sudah makan kah dia, cukupkah bekalannya sementara usaha mencarinya sedang berlangsung,” katanya ketika ditemui pemberita Kampung Permatang Kerai Besar di sini, hari ini.

Tambah Che Tom, keluarganya ada cuba menghubungi pasukan terlibat untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai pencarian Muhammad Hawari namun gagal.

Che Tom ketika ditemui pemberita di Kepala Batas hari ini.

“Sejujurnya, saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia sama-sama berdoa supaya Warie pulang dengan selamat.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraannya,” katanya.

Terdahulu, Datuk Reezal Merican Naina Merican menziarahi keluarga Muhammad Hawari bagi memberikan sokongan moral termasuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian terbabit.

Reezal Merican (tengah) berbual dengan ibu serta isteri Muhammad Hawari.

Reezal Merican berkata, beliau menerima mesej WhatsApp daripada Muhammad Hawari bahawa akan memulakan misi ke Everest.

“Saya amat dukacita dengan berita kehilangan anak Kepala Batas ini (Muhammad Hawari) dan saya harap sama-sama kita berdoa agar dia diberi kesejahteraan serta selamat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Media sebelum ini Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat pagi kelmarin selepas berjaya menakluk punca Everest petang Khamis lalu.

Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times semalam.

Pengarah di Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki dilaporkan berkata, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan terutama di semua kem pendakian lain.

“Pihak kami difahamkan Muhammad Hawari keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendakinya ME2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.

“Bagaimanapun, Awang Askandar yang juga rakan pendaki Muhammad Hawari disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter,” katanya. – MalaysiaGazette

Pendaki Malaysia Everest 2023, Muhammad Hawari dikhuatiri hilang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast