iklim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Prosiding perbicaraan saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bermula sekitar Ogos tahun depan.

Kes ini berkaitan dakwaan Muhyiddin tentang gaji RM15 juta diterima oleh Perdana Menteri itu sewaktu menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam mewakili Anwar, Datuk Sankara Nair berkata, beberapa tarikh telah ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain pada pengurusan kes itu pada hari ini.

“Tarikh-tarikh itu ialah 5, 6, 7, 12, 13, 14, 26, 27 dan 28 Ogos 2024. Mahkamah juga arahkan semua pihak terlibat untuk memfailkan sebarang permohonan interlokutori selewat-lewatnya 16 Jun ini jika ada,” katanya.

Mahkamah juga tetapkan 21 Jun ini bagi pengurusan kes seterusnya.

Anwar sebelum ini  memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan plaintif menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada 5 Disember 2022.

Dakwa Anwar, kenyataan itu adalah fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya serta dibuat dengan niat jahat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Dalam pada itu, dalam penyataan pembelaan, Muhyiddin berkata, Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan sewaktu ceramah politik.

Sebaliknya kata Muhyiddin sebagai pemimpin utama PH dan Perdana Menteri, Anwar seharusnya menjawab pertanyaan yang ditimbulkan secara terbuka dan sepenuh hati serta menafikan sebarang dakwaan yang dibangkitkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast