Bersih SPR pemerhati PRN
Menara Suruhanjaya Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjanjikan proses yang telus, terbuka dan berakauntabiliti bagi pencalonan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, langkah itu boleh dibantu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Walaupun secara perlembagaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi SPR dan ahli-ahlinya adalah dipilih oleh Perdana Menteri yang mencalonkan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bersih menambah, selaku penjaga proses pilihan raya, SPR adalah badan berperlembagaan yang terpenting tetapi untuk masa-masa selepas tahun 1967, ia tidak menunjukkan tahap kebebasan, keadilan dan integriti yang diharapkan.

Jelasnya, satu isu fundamental adalah isu pelantikan pesuruhjaya daripada penjawat awam kanan yang telah pencen dan sehingga 2018, semuanya lelaki.

Menurut Bersih, mereka lebih terbiasa untuk menerima arahan daripada ahli politik berbanding berdiri dengan tuntutan sendiri.

“Sehingga 2018, SPR telah mempunyai ahli dengan kelayakan berkaitan pilihan raya yang dilantik daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil,” katanya.

Bersih juga berharap agar Anwar mengambil peluang untuk menunjukkan iltizamnya bagi memperkukuhkan keupayaan dan kredibiliti SPR dengan melibatkan JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dalam lantikan wakil Sabah sebagai Ahli SPR.

Katanya, terdapat kekosongan ahli dari Sabah pada November tahun lepas dan satu lagi kekosongan pada Disember lalu.

“Terdapat tiga manfaat besar yang akan diperolehi iaitu meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan penting serta keyakinan dan keabsahan yang lebih jitu terhadap SPR.

“Selain itu, ia akan memberi peranan yang lebih bermakna oleh Parlimen bagi memeriksa pelantikan jawatan penting, sebagaimana amalan demokrasi yang lebih matang di mana dewan perundangan boleh memeriksa, meneliti dan mengundi bagi jawatan-jawatan penting,” katanya.

Bersih turut mengucapkan tahniah kepada JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi atas penubuhannya dan mengharapkan peranan yang lebih telus dalam proses pelantikan dengan membawa pemantauan Parlimen mengenai perkara tersebut.

“Bersih telah menjalankan kajian terhadap penambahbaikan SPR dan sentiasa bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri, JPKP dan SPR untuk bagaimana menjadikan proses pelantikan yang lebih telus, terbuka dan berakauntabiliti dibuat bagi membina kepercayaan takyat terhadap SPR dan proses pilihan raya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast