anwar the untold story
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan pembangkang bahawa kerajaan perpaduan membawa dasar ekonomi yang bercelaru.

Anwar berkata, mana mungkin dasar kerajaan bercelaru memandangkan pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama semakin mengukuh, sementara pelaburan besar dan bernilai tinggi terus bertambah.

“Kalau dasar celaru, pertumbuhan (ekonomi pada suku pertama 2023) tidak akan dapat mengatasi Indonesia, Vietnam dan China.

“Kalau dasar celaru, tidak mungkin pelaburan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, pelabur yang membawa pelaburan dilihat sebagai serius telah memberi kesan kepada lawatan beliau ke China pada bulan lalu dengan syarikat automotif, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan menanam modal di negara ini.

“Sebulan selepas kita ke negara China, Geely datang…bukan lancar Proton X90, tetapi juga mencadangkan supaya disegerakan (projek Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif) di Tanjung Malim. Maknanya, (Kerajaan Perpaduan) ada dasar yang jelas,” katanya.

Dalam pada itu, kata Anwar, kestabilan politik yang dipamerkan Kerajaan Perpaduan berjaya menarik keyakinan pelabur asing,  sekali gus menunjukkan dasar yang berkaitan dengan tata kelola yang baik mula diterima baik mereka.

“Kestabilan politik suatu yang meyakinkan sehingga pelaburan lebih rancak sekarang daripada dulu. Tetapi sekarang bukan pengumuman (pelaburan), tapi dapat dilihat pelaksanaannya.

“Saya lihat macam Tesla, Amazon (Amazon Web Services) dan Geely sebagai permulaan, hatta beberapa negara (lain akan menyusul) sesuai pada ketikanya.

“Dasar yang menarik pelaburan asing jelas dan sebab itu dia (pelabur) datang. Saya tidak fikir ini sebagai satu masalah. Macam isu Kadar Dasar Semalaman (OPR), dalam enam bulan baru sekali naik, tapi dalam 2022, empat kali naik tak jadi isu, kita naik sekali gegak gempita.

“Apa yang penting defisit kurang, inflasi turun, kadar pengangguran rendah dan pelaburan bertambah. Ini kejayaan Kerajaan Perpaduan,” katanya . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Org gegak gempita la sbb dulu PMX yg menyampah kat menteri kewangan bodek dan jaga kroni bank. Sbb kasi naik OPR. Skang ni PMX pulak jd kaki bodek yg sama. Tu psl la org menyampah haku..

Comments are closed.