JOHOR BAHRU – Sebuah premis yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan minuman keras tidak berdaftar diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor di kawasan perindustrian Gelang Patah di sini baru-baru ini.
Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, hasil pemeriksaan pada 17 April lalu mendapati premis itu tidak berpenghuni.
“Ketika risikan dilakukan pihak kami menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam dan disembunyikan dalam premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan sebanyak 5,502.30 liter di dalam 7,242 tin atau botol minuman keras telah dirampas dan disita. Kami anggarkan sebanyak RM230,000 dan jumlah duti dan cukai terlibat sejumlah RM167,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam beberapa siri kejayaan JKDM Johor hari ini.
Misbahudin memberitahu, usaha mengesan pemilik premis juga sedang giat dijalankan.
Pihaknya mendapati modus operandi kes ini pemiliknya adalah dengan menjadikan premis di kawasan industri sebagai tempat penyimpanan minuman keras yang belum lulus kastam dan dipercayai diimport dari luar negara.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) ( d ) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang tidak berkastam dan jika sabit kesalahan, pesalah bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,00 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.-MalaysiaGazette