Pendakwah Bebas, Dr. Zakir Naik hadir ke mahkamah bagi mendengar keputussan kes saman fitnah terhadap Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago telah memfitnah pendakwah, Dr Zakir Naik dalam satu ceramah empat tahun lepas.

Charles membuat kenyataan itu dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019.

Justeru itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Charles untuk memohon maaf secara terbuka kepada Zakir Naik hari ini.

Sejurus selepas membacakan keputusan, hakim itu memanggil Zakir dan Charles untuk tampil ke hadapan bagi proses permohonan maaf secara terbuka dalam mahkamah.

Selepas permohonan maaf oleh Charles, hakim bertanya kepada Zakir sama ada beliau menerima permohonan maaf berkenaan.

Penceramah itu menjawab Ya.

Ketika prosiding hari ini juga, hakim memutuskan kenyataan Charles tidak mencemarkan imej Zakir, sebaliknya telah meningkatkan reputasi plaintif sebagai seorang yang berpengaruh di negara ini.

“Oleh itu mahkamah memutuskan plaintif (Zakir) tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi, tetapi oleh kerana kenyataan berkenaan adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan (Charles) memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Kenyataan fitnah itu diterbitkan dalam portal Free Malaysia Today (FMT) di bawah tajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’.

Ini juga berkaitan penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang belanjawan dibentangkan di Parlimen.

Charles ketika itu mencadangkan penahanan tersebut mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan itu satu amaran kepada masyarakat India.

Dalam pada itu, Akhtar mendapati kenyataan Charles melalui kenyataan akhbar bertajuk ‘Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’, pada 13 Ogos 2019 tidak memfitnah Zakir. – MalaysiaGazette