Sha'ani Abdullah

KUANTAN – Apa sahaja yang diwartakan sebagai barang kawalan pasti barang tersebut ‘hilang’ sekejap daripada pasaran.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, sekiranya sesuatu barangan tidak diklasifikasikan sebagai barangan kawalan atau barangan bersubsidi, tidak timbul isu sorok barang.

“Perasan kan barangan yang selalu hilang ialah minyak masak. Sebelum ini telur dan sekarang gula?” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, pemborong memang menghantar bekalan ke pasar raya dan kedai runcit namun margin keuntungan barangan kawalan adalah kecil.

Berbeza dengan barang bukan kawalan, menurut Muhammad Sha’ani, ia boleh dipasarkan secara bebas dan isu sorok barang mungkin tidak timbul.

Malah katanya, jika pembukuskan semula dilakukan terhadap barangan bukan kawalan seperti mengecilkan kuantiti sesuatu produk boleh membantu golongan kurang berkemampuan membelinya pada harga yang mereka mampu.

“Contoh jika minuman coklat nak beli di pasar raya mahal tapi di kedai yang melakukan pembungkusan semula orang kurang berkemampuan mampu beli sikit. Tetapi bila kawal harga (minuman coklat), kedai tidak boleh jual (dengan kaedah pembungkusan semula),” katanya.

Katanya, bagi memastikan bekalan terjamin dan mengelakkan aktiviti sorok barangan pada masa akan datang, kerajaan perlu melaksanakan rasionalisasi secara berperingkat.

Mengulas isu kekurangan bekalan gula, Sha’ani berkata, pentadbir sesuatu kawasan seperti penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan.

“Kena ada penyelarasan. Apa guna kita ada penghulu, ketua-ketua kampung? Merekalah harus menjadi mata dan telinga untuk memberi maklum balas kepada daerah, negeri kalau kawasan tak ada bekalan. Mereka boleh saling berhubung melalui pelbagai media sosial.

”Kalau pemimpin setempat main peranan, segala masalah akan sampai kepada kementerian untuk tindakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette