Datuk Lim Siow Jin.

KUALA LUMPUR – Syarikat jualan langsung berorientasikan kesihatan, DXN Holdings Bhd. (DXN) terus ‘terbang tinggi’ apabila bakal menembusi dua pasaran baharu iaitu Afrika dan Amerika Selatan.

Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, perancangan itu akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun bagi menumpukan fokus syarikat terhadap mengembangkan jaluran pasaran sedia ada dan juga baharu.

Pada masa sama, DXN kini berada di landasan tepat mengembangkan bisnesnya apabila akan mengembangkan pasaran di Brazil, Argentina, Algeria, Nigeria dan Mesir  tahun ini.

“Ketika ini, DXN sudah bertapak di 48 buah negara dengan mempunyai sebanyak 79 cawangan jualan serta seramai 14.9 juta ahli berdaftar.

“Justeru, DXN akan memastikan ia boleh meningkatkan kebolehan pembuatan dan pegeluaran produk-produk ke seluruh dunia,” katanya pada sidang media semalam.

Jumaat lalu, DXN membuat kemunculan semula di papan utama Bursa Malaysia pada nilai RM0.69 dengan jumlah pembukaan sebanyak 12.71 juta saham.

Syarikat itu telah mengumpul sejumlah RM112.0 juta hasil melalui penawaran runcitnya.

Daripada jumlah hasil yang diperoleh, RM80 juta telah diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank manakala RM7.9 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja terutamanya untuk pembelian bahan mentah utama yang digunakan untuk menghasilkan barangan siap dan bahan pembungkusan utama.

RM24.1 juta lagi daripada jumlah hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membayar yuran dan perbelanjaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian DXN.

merekodkan pendapatan sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023.

Mengulas perkembangan terkini itu, Siow Jin melahirkan rasa gembira terhadap sambutan memberangsangkan terhadap saham IPO DXN.

“Saham IPO DXN disambut dengan baik oleh orang ramai dengan pengumuman IPO DXN yang terlebih langgan sebanyak 3.2 kali.

“Ini kali kedua DXN disenaraikan di Bursa Malaysia dan DXN kini berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding dahulu,” katanya.

Lebih menarik, Siow Jin menambah, polisi DXN untuk memberikan pulangan dividen sebanyak 30 hingga 50 peratus juga mampu memberikan kayakinan kepada orang ramai yang berjaya untuk langgan kepada saham DXN.

Beliau turut memberitahu, DXN juga melabur banyak ke dalam kemudahan R&D, pembuatan dan pengeluaran produk syarikat itu.

“Pada masa ini, kami mempunyai dua kemudahan penyelidikan  di Kedah Malaysia dan Ningxia di China manakala 10 kemudahan pembuatan di Kedah, Jawa Barat, Indonesia, Ningxia dan Anxi – China, Himachal Pradesh dan dua di Pondicherry, India serta dua di Tlaxcala, Mexico.

“DXN juga mempunyai enam kemudahan penanaman di Kedah, Ningxia dan Anxi di China dan tiga di Pondicherry, Telangana dan Odisha du India,” katanya.

Ketika in,  DXN mempunyai lebih dari 2,000 pekerja tempatan dan mempunyai jumlah distributor lebih 15 juta diseluruh dunia dengan sebanyak 1 juta didaftarkan di Malaysia.

Jumlah distributor yang aktif dalam lingkungan 3.6 juta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast