Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan mengambil kesempatan meminta jumlah duit yang tidak munasabah daripada ahli keluarga kepada mangsa sindiket penipuan pekerjaan ke luar negara.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, NGO berkenaan juga asyik mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu untuk membina reputasi bagi memudahkan permohonan peruntukan daripada kerajaan.

Akhbar itu melaporkan, selain pertubuhan, terdapat juga individu yang mengambil kesempatan untuk membina reputasi peribadi bagi agenda persendirian.

Bahagian Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mendapati terdapat pihak yang menawarkan bantuan dan memberi janji akan membawa pulang mangsa dari luar negara.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, NGO atau individu berkenaan akan meminta bayaran yang tidak munasabah dan mendakwa ia adalah untuk menampung perbelanjaan tiket kapal terbang.

“Pihak polis ingin menasihati orang ramai supaya mendapatkan bantuan daripada Wisma Putra,  polis atau pihak berkuasa lain dalam soal menyelamatkan mangsa.

“Ini untuk mengelakkan penipuan dan juga bayaran tambahan,” katanya.

Bagaimanapun, Fadil mengakui terdapat juga banyak NGO yang mempunyai hubungan baik dengan polis, termasuk menyediakan maklumat kepada polis.

“Polis tidak akan menyalahkan semua NGO, tetapi kami berterima kasih kepada NGO dan individu yang menyediakan sumber dan bantuan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama NGO yang “positif” kerana mahu memastikan keadilan.

“Polis tidak akan mengkategorikan atau menyebut nama mana-mana NGO atau individu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, terdapat ahli keluarga yang memberitahu bahawa mereka diminta sindiket penipuan untuk membayar AS$10,000 (RM45,800) hingga AS$30,000 (RM132,000) untuk membebaskan ahli keluarga mereka di luar negara.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis jika diminta wang tebusan,” katanya. – MalaysiaGazette