Mohd Na’im (tengah) pada Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Keputusan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai tuan rumah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) kali ini sudah diputuskan sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan.

Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah bagi menunjukkan DAP bukan sebuah parti anti Islam.

Jelas beliau, keputusan tersebut juga tiada elemen politik memandangkan negeri-negeri yang dipilih menjadi tuan rumah bagi MTHQK dilakukan secara pusingan.

Mohd Na’im.

“Saya ingat tidak ada elemen politik di sebalik pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi majlis tilawah ini.

“Malah, Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memilih negeri ini melalui proses pusingan dan secara kebetulan Pulau Pinang bersetuju menerima jemputan tersebut.

“InsyaAllah kita harapkan majlis ini berjalan dengan lancar tambahan pula kali terakhir negeri ini menjadi tuan rumah MTHQK pada 2002,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Mohd Na’im merasmikan majlis Pra Pelancaran MTHQK Tahun 1444H di AC Hotel, Bukit Jambul, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Mohd Na’im (tengah) bercakap dengan media pada sidang media.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, majlis ini akan berlangsung selama enam hari bermula 11 hingga 16 Jun depan di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth.

Kata beliau, perasmian akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah pula disempurnakan Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

“MTHQK kali ini membabitkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri berusia lingkungan 10 hingga 25 tahun yang mana setiap negeri akan diwakili lapan peserta iaitu dua bagi pertandingan Tilawah al-Quran manakala enam bagi Hafazan al-Quran.

“Johan tilawah dan hafazan akan memenangi wang tunai RM20,000 tahun ini berbanding kadar lama RM15,000 pada tahun lalu.

“Selain itu, johan peserta MTHQK akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 20 hingga 26 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur,” kata Mohd Na’im. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan