Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk suspek utama, Wan Palo yang aktif melakukan jenayah ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju.

Sindiket ragut yang menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal itu ditangkap dalam serbuan Op Rentap di sekitar ibu negara pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di sini, jam 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

Susulan kegiatan ragut yang semakin berleluasa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan Op Rentap.

“Berdasarkan risikan dilakukan, kami menjalankan beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara pada 10 Mei lalu dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan itu berusia antara 26 hingga 29 tahun.

“Polis juga merampas lapan telefon bimbit pelbagal jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, geng ragut ini melakukan jenayah tersebut secara berkumpulan dan hasil jenayah itu akan dijual dan wang yang diperoleh akan dibahagikan sesama mereka.

“Ketiga-tiga suspek itu kini ditahan direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan sementara suspek utama kes ini telah diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

Tangkapan itu berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju. – MalaysiaGazette