Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Ia ekoran status Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memberikan isyarat bahawa RUU berkenaan akan diluluskan ketika sidang DUN.

“Kalau ada YB (ADUN) yang nak lompat parti, lompatlah hari ini sebab esok tak boleh lompat lagi,” ciap beliau di Twitter.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan RUU berkenaan sengaja dilewatkan.

Sebaliknya ia sedang menjalani proses kajian yang menyeluruh dan mengambil masa demi kestabilan politik.

Pada Ahad lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sidang DUN Sabah yang bermula semalam.

Sebelum ini, Hajiji berkata, GRS akan membentangkan RUU itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.

RUU itu membabitkan pindaan kepada Perlembagaan negeri dan memerlukan kelulusan Yang di-Pertua Negeri Sabah serta Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini menyambut baik keputusan kerajaan Sabah untuk membentangkan RUU Antilompat Parti.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembentangan RUU itu selari dengan hasrat parti itu untuk memastikan undang-undang antilompat parti turut diwujudkan di negeri ini selepas ia dilaksanakan di peringkat persekutuan. – MalaysiaGazette