Sebuah poster bertajuk 'Gang Bang JB Party' yang tular baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menganjurkan sebarang program yang mendorong orang ramai melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid turut memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mencegah dan menghalang kegiatan itu daripada berlaku di Johor.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Saya bagi amaran! Demi Allah saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor. Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Amaran itu dikeluarkan susulan tular sebuah poster bertajuk ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadual diadakan di Johor Bahru pada 20 Jun depan dari 4 petang hingga 9 malam dan program tersebut dikatakan terbuka untuk semua kaum namun tidak dibenarkan mengambil gambar atau merakam sebarang video.

Pada Disember tahun lepas, JAINJ berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih di kolam renang sebuah hotel di bandar raya ini selepas menerima aduan orang awam selepas jemputan ke parti tertutup itu tular melalui media sosial.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast