Siew Hong (kanan) dengan barisan peguamnya, J Gunamalar dan Thian Yee Chin.

KUALA LUMPUR – Ibu tunggal, Loh Siew Hong yang gagal  mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh bekas suaminya sedang dalam proses membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menurut salah seorang peguam mewakili Siew Hong, Gunamalar Joorindanjn, ketika ini, pasukan mereka dalam permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk percepatkan pelepasan rekod rayuan berhubung keputusan minggu lepas.

Katanya,ia merupakan bagi membolehkan mereka untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Kita di beritahu pengurusan kes seterusnya pada 7 Jun depan bagi mengemas kini rekod rayuan. Ini untuk teruskan proses rayuan di Mahkamah Rayuan nanti,” katanya hari ini.

Untuk makluman, selepas pemohon memfailkan notis rayuan, pasukan itu perlu mendapatkan rekod rayuan terlebih dahulu bagi membolehkan mereka memfailkan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Minggu lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya oleh bekas suaminya.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid berkata, tiada bukti dikemuka di mahkamah bahawa agama pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sudah ditukar semula kepada Hindu.

Hakim juga berkata, ibu tunggal itu tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac tahun lalu dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Wanita itu memohon anak-anaknya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Pada 21 Febuari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Siew Hong selepas dia gagal mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya daripada pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Ini berikutan perintah mahkamah sivil yang memberikan hak penjagaan, perlindungan dan kawalan ke atas tiga anaknya.

Siew Hong kemudian mendapat tahu bahawa anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan Nazirah dan mendakwa wanita itu enggan membenarkannya bertemu dengan mereka.

Wanita itu yang merupakan seorang penganut agama Buddha, berhujah bekas suaminya itu tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan pendaftar mualaf mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya. -MalaysiaGazette