Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Melaka akan menjadi perintis projek kampung digital, usaha untuk mendigitalkan alamat kampung tradisional di seluruh negara yang masih menggunakan alamat perbatuan sejak zaman British.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusuh berkata, setakat ini tiga buah kampung di Melaka termasuk kampung halamannya, di Batu 21 Kampung Pulau, Masjid Tanah, Alor Gajah sudah dijadikan kawasan kajian projek.

Menurutnya, apabila proses pendigitalan kampung berkenaan siap, alamatnya boleh didapati dalam sistem kod QR, berbanding alamat perbatuan yang digunakan sejak sebelum merdeka.

“Idea kampung digital ini tercetus selepas saya melihat sistem delivery (penghantaran) kita masih di tahap lama, urusan penghantaran surat menyurat masih lagi menggunakan alamat-alamat yang berasaskan perbatuan.

“Kalau macam alamat rumah saya Batu 21, Kampung Pulau, Masjid Tanah (sedangkan) di Batu 21 ada lebih kurang dalam 800 orang, jadi kalau posmen datang hantar surat ke sini dia kena tanya ini rumah siapa.

“Lebih menyedihkan kita tengok sampai sekarang surat masih lagi bertaburan di kedai-kedai runcit dan masjid-masjid sedangkan dalam dunia serba digital hari ini ini perkhidmatan penghantaran telah membawa kita terus ke rumah menggunakan kaedah digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual ekslusif bersama SkopMG di pejabatnya di Seri Negeri, di sini.

Sehubungan itu Ab Rauf berkata, Melaka telah melibatkan tiga buah kampung tradisional sebagai kawasan kajian kampung digital sebelum ia dijadikan contoh untuk diperluaskan ke seluruh negara.

“Sebenarnya, seluruh kampung tradisional di Malaysia, sistem penghantarannya masih lagi menggunakan kaedah (alamat) perbatuan ini sejak zaman British, jadi Melaka akan perintis kepada kampung digital ini.

“Saya akan bentangkan ini (kampung digital) kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya diambil dan diangkat Melaka sebagai contoh mendigitalkan kampung tradisional di seluruh negara.

“Selepas ini, rumah-rumah ini bukan sahaja ada ID (identiti) rumah dalam bentuk alamat, tapi akan ditukar ke dalam bentuk kod QR untuk lebih memudahkan urusan,” katanya. – MalaysiaGazette