KUANTAN – Sebuah lagi menara telekomunikasi siap dibina di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, di Cameron Highlands menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA)

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, menara diserahkan daripada Edotco kepada CelcomDigi Berhad bagi proses seterusnya untuk pengoperasian.

Jelasnya, ia melibatkan pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik, sehingga kepada pengaktifan perkhidmatan 4G.

“Sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini kita menyaksikan sebuah menara telekomunikasi telah siap dibina di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, Cameron Highlands.

”Menara ini dibina oleh Syarikat Edotco Group Sdn Bhd. akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung Julai ini, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 600 penduduk di kampung tersebut dari segi akses kepada rangkaian komunikasi dan capaian internet.

”Sesungguhnya, pembinaan pantas menara ini wajar menjadi contoh serta ikutan untuk tapak-tapak menara lain di negeri Pahang yang sedang giat dilaksanakan ketika ini.”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Januari lalu, perkhidmatan internet dan 4G yang tidak memuaskan di KOA Kuala Boh imendapat perhatian Yang di-Pertuan Agung Baginda ketika melakukan lawatan kerja ke sana.

Sehingga kini, daripada 270 menara baharu yang sedang dilaksanakan di Pahang di bawah inisiatif JENDELA, sebanyak 53 menara telahpun siap dan beroperasi sepenuhnya. – MalaysiaGazette