ABIM AKSB

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan mendakwa pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 seorang kepada setiap ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd adalah tidak menepati konsep fiqh aulawiyat (keutamaan).

Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad berkata, AKSB sebagai syarikat pembekalan air terawat di Kelantan pernah mengakui mereka memerlukan suntikan dana besar bagi menyelesaikan isu bekalan air.

Menurut beliau, pada 14 Mei lalu, Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi dilaporkan berkata, isu air di Kelantan memerlukan sumber kewangan sebanyak RM5.03 bilion.

“Namun pemberian sagu hati hari raya kepada ahli lembaga pengarah AKSB tidak menepati fiqh aulawiyat kerana pemberian sagu hati tersebut adalah ‘mengutamakan sesuatu yang sepatutnya dikemudiankan’.

“Sedangkan pengamalan yang sepatutnya adalah ‘mengutamakan sesuatu yang perlu diberi keutamaan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial salinan dokumen sulit yang menyatakan, setiap ahli lembaga pengarah AKSB diberi sagu hati sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM10,000.

Kakitangan AKSB pula menerima sagu hati sebanyak RM200 seorang manakala setiausaha syarikat diberi RM2,000.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mempertahankan pemberian sagu hati tersebut sebagai prosedur biasa AKSB bagi menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pengurusan.

Saifulnizam menambah, pemberian sagu hati tersebut menguatkan lagi jawapan lisan bekas Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada 21 Julai tahun lalu bahawa AKSB berdepan libat urus yang lemah dan tidak kompeten.

“Kami menggesa ahli lembaga pengarah AKSB memperbetulkan tindakan tersebut dengan membuat kenyataan rasmi berkaitan isu ini segera dan bertanggungjawab dengan isu ini jika benar berlaku,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Banyak btul mufti2 kt malaysia ni. Sebab tu islam kat malaysia ni caca marba. Kalau nak jatuh hukum rujuklah dari mufti2 kerana merekalah Majlis agama tertinggi dalam negara. Abim ni sape?

Comments are closed.