Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan di Parlimen semalam mengenai keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia terlibat lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran betul.

“Litar drag ini juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar professional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, beliau mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor.

Katanya, kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand.

“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos RM1.3 juta iaitu usaha kerjasama antara agensi swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Menteri Belia dan Sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini.

“Pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya akan cadangan tersebut agar penyelesaian tuntas dapat diberi, seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para belia,” ujarnya.

Semalam, kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak merancang untuk meneruskan cadangan kerajaan terdahulu untuk mewujudkan litar drag di setiap negeri.

Hannah dilaporkan berkata, kerajaan akan menanggung kos selenggara tinggi sekiranya cadangan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri diteruskan.

“Buat masa ini, kementerian sedang menumpukan usaha untuk menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada. Sekiranya terdapat keperluan untuk membina litar lumba drag, Yang Berhormat boleh menghantar permohonan untuk dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, sebarang permohonan pembinaan fasiliti sukan baharu hanya akan dipertimbangkan sekiranya ia memenuhi syarat ditetapkan oleh Menteri Ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryday Bandy. – MalaysiaGazette