Kon Yeow (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada isteri Muhammad Hawari. Gambar - Ihsan FB CKY.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan sumbangan RM500,000 bagi menampung kos operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di Gunung Everest sejak Jumaat lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu diberikan selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Peruntukan sebanyak RM500,000 itu disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini.

“Kerajaan negeri akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang merupakan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kon Yeow melawat keluarga Muhammad Hawari serta menyampaikan sumbangan khas daripada beliau sendiri kepada isteri mangsa, Safiyyah Tang Xie Li.

Hadir sama, Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad.

Tambah Kon Yeow, Haryany akan menjadi wakil penghubung dengan pihak SAR dan kelab berwajib di sana bagi mendapatkan perkembangan semasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin turut menyampaikan sejumlah sumbangan kepada Safiyyah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast