Zarina Mohd Ali

KUANTAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah dugaan hidup seorang ibu tunggal Orang Kurang Upaya (OKU), Zarina Mohd Ali, 59, yang cekal menjaga tiga anaknya yang sakit, meskipun dia sendiri kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat kencing manis.

Menurut Zarina, kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga paras lutut pada tahun 2016 akibat kencing manis dan seterusnya kaki kanan pada tahun 2020.

“Makcik beginilah, sudah jatuh ditimpa tangga. Daripada arwah suami makcik meninggal dunia pada tahun 2017, lepas satu, satu dugaan datang,” luah Zarina ketika ditemui di kediamannya di Sungai Isap Perdana, di sini.

Zarina Mohd Ali

Sebelum itu, anak keduanya, Khairun Nabilah Mohd Shamsuri, 29, disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sejak tahun 2011 dan perlu menjalani proses dialisis tiga hari seminggu.

Namun, katanya, ketika itu suaminya, Mohd Shamsuri Abdullah ada bersama-sama menjaga anak kedua tersebut.

“Dulu makcik ada pelindung (suami), makcik tak rasa macam ni sangat. Apa-apa kami berdua. Sejak dia tiada, semua makcik kena hadap seorang,” ulasnya.

Selepas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2017, anak sulungnya, Mohd Amir Haziq pula mengambil peranan sebagai tulang belakang keluarga, membantu menjana pendapatan mereka sekeluarga.

Tetapi, dia diuji lagi apabila anak bongsunya, Khairun Nisha, 22, juga didiagnos dengan kegagalan buah pinggang dua tahun lalu, juga perlu menjalani Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD).

Bilik yang disediakan untuk Khairun Nisha Mohd Shamsuri menjalani  (CAPD) di rumah

“Pada awalnya Nisha disahkan badannya dipenuhi toksin dan kurang darah (anemia). Tapi, lepas tu doktor beritahu dia ada sakit buah pinggang juga, tapi kena jalani CAPD di rumah.

“Siapa tak kesian dengar anak sendiri mengadu sakit seluruh badan. Kalau boleh, makcik nak biarlah sakit tu dipindahkan kepada makcik.

“Nisha sekarang dah enam hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebab ada jangkitan kuman,” kata ibu tunggal itu lagi.

Lebih meruntun jiwa, Zarina memberitahu  anak sulung yang menjadi tulang belakang keluarganya, Amir pula disahkan terkena jangkitan kulit Selulitis.

Penyakit it mengakibatkan Amir terlantar di rumah sejak November tahun lepas dan tidak mampu lagi untuk bekerja.

Dia juga memberitahu, anak lelaki tunggalnya itu pun sudah empat hari di HTAA kerana menerima rawatan.

“Saudara terdekat ada datang melawat, memang mereka cakap makcik kuat dengan dugaan ni. Hakikatnya tiada siapa tahu makcik menangis macam mana,” cerita Zarina sambil mengesat air mata yang mengalir.

Zarina Mohd Ali

Memandangkan dia tidak mampu bekerja untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kehidupan mereka, Zarina dan anak-anaknya kini hidup berbekalkan wang simpanan persaraan arwah suaminya sebanyak RM1,200 sebulan.

“Kalau makcik sihat macam awak, ada kaki, makcik boleh gagahkan diri lagi. Dulu, masa kaki kiri kena potong pun makcik boleh buat kuih muruku untuk dijual.

“Tapi makcik reda, kalau ini takdirNya, makcik terima. Sebab dulu makcik selalu tonton rancangan realiti ‘Bersamamu’. Makcik tengok ada orang lagi susah daripada makcik.

“Orang lain ada yang tiada rumah, rumah bocor, sekurangnya makcik ada rumah,” katanya lagi.

Disebalik ketenangan raut wajahnya, wanita ini jelas menyembunyikan kegusaran di hati mengenangkan nasib dia sekeluarga meneruskan hidup pada masa akan datang.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Zarina dan keluarga, boleh berbuat demikian kepada akaun Bank Simpanan Nasional (Zarina Mohd Ali)0610029000557768. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Assalamualaikum cik.. saya anak saudara kepada makcik zarina.. anak bongsu makcik zarina.. khairun nisha telah menghembuskan nafas terakhirnya semalam 25/5/2023 kira-kira jam 2.38 p.m. minta semua pembaca malaysia gazzette mendoakan allahyarhamah khairun nisha binti mohd shamsuri.

Comments are closed.