Isham dipecat Hamzah rasuah pengundi UMNO DAP
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pemimpin dan ahli UMNO dinasihatkan supaya berhenti memuji DAP dan tidak bersikap apologetik apabila berkata tentang parti berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, perkara itu boleh menyebabkan penyokong parti kecil hati sekali gus menjejaskan parti pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Beliau mengingatkan, penyokong UMNO adalah berbeza dengan Pas yang mana mereka sanggup mengibarkan bendera parti lain semata-mata kerana walak terhadap arahan pucuk pimpinan.

“Saya juga tidak mahu jadi DAP punya apologis, itu saya nasihatkan kita janganlah kata DAP ni baik sebab DAP pun tak ada kata UMNO baik.

“Ada dengar orang DAP jadi apologis UMNO? Saya tak ada dengar,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam Facebook, hari ini.

Nasihat pemimpin-pemimpin UMNO agar ahli-ahli dan penyokong parti mengundi calon-calon yang mewakili parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan akar umbi.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin parti akan menyantuni penyokong UMNO untuk meyakinkan mereka mengundi DAP yang bakal bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRN kelak.

Isham berpandangan, sebarang perbincangan mengenai sokongan terhadap parti-parti dalam PH sepatutnya dibuat secara dalaman.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap agar PH menunjukkan mereka serius dalam hubungan dengan BN dengan memberi lebih banyak kerusi untuk ditandingi dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Kalau tak serius, bagi je apa yang ada, penyokong kita akan marah. Undi kita nak tetapi kerusi bagi sikit,” jelasnya. – MalaysiaGazette