KUALA LUMPUR – Soal pendek atau panjang kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) amat bergantung kepada kebijaksanaan nakhoda masing-masing dalam mengemudinya supaya tidak ‘patah’ di tengah-tengah jalan.
Ini kerana, kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sehingga menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah rapuh.
Lantaran itu, Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub mengingatkan kerjasama ini yang rapuh ini, kalau tidak berhati-hati akan jatuh pecah berkecai.
“Akar umbi perlu diberi penjelasan kenapa dan mengapa UMNO berkejasama dengan PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha turut berkata, ahli akar umbi UMNO juga keliru kerana perlu bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ini kerana katanya, semua ahli parti berasa seperti dipaksa untuk menerima kerjasama dengan PH terutama dengan DAP.
“Ahli keliru kerana sebelum PRU15 slogan ‘No DAP No Anwar’ dijaja. Tapi sekarang bila berkerjasama dengan PH seolah-olah ‘Yes DAP Yes Anwar’.
“DAP yang menjadi musuh tradisi UMNO sekarang menjadi kawan. Ahli UMNO seperti dipaksa berbaik-baik dengan DAP,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, ahli UMNO bukan anti-Cina kerana mereka telah didik dengan doktrain untuk bekerjasama dengan MCA dan MIC yang mewakili masyrakat Cina dan India di negara ini.
Namun katanya, ahli parti itu merasakan ada perasaan curiga untuk bekerjasama dengan DAP atas alasan kedua-dua pihak dilihat masih belum mempercayai antara satu sama lain.
“Sekian lama bermusuh dan berlawan sekarang nak berbaik dan berkawan. Bukan senang untuk diubah persepsi itu dalam masa yang singkat menjelang PRN nanti. Bagaimana pun ianya bergantung kepada kebijaksanaan penerajunya.
“Walaupun bukan mudah untuk memujuk hati yang marah tetapi tidak mustahil ianya mampu disejukkan. Tidak ada kawan dan lawan yang kekal dalam politik. UMNO dan DAP tidak ada pilihan lain kalau mahu kekal bersahabat dan berkerjasama melainkan saling bantu membantu bagi memenangi calon masing-masing dalam PRN nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette