Keadaan kereta mangsa yang terbakar ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian malam tadi. Gambar ihsan: JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita warga Thailand cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di laluan motosikal Jalan Seputeh, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.18 malam.

Katanya, seramai 17 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan BBP Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti jenis serta nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kebakaran itu menyebabkan kereta terbabit musnah sepenuhnya sebelum api berjaya dikawal menggunakan dua aliran hos.

“Terdapat dua mangsa dilaporkan dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki tempatan yang maut, manakala seorang wanita warga Thailand hanya cedera ringan.

“Mangsa terbabit menerima rawatan awal daripada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” ujarnya. – MalaysiaGazette