Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Golongan usahawan dan perniagaan yang memerlukan sokongan akan dibantu oleh Sekretariat Hal Ehwal Industri Halal dan Keusahawanan UMNO Malaysia.

Pengerusinya, Senator Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diketengahkan demi melahirkan generasi usahawan yang lebih berdaya saing dalam Malaysia Madani.

“Objektif utama penubuhan sekretariat ini untuk menyediakan wadah perjuangan parti bagi membela hal ehwal usahawan dan penggiat industri halal demi memartabatkan ekonomi bangsa Melayu melalui pemerkasaan usahawan terutamanya melalui industri halal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, menerusi mesyuarat pertama yang diadakan semalam, sebanyak empat teras dipersetujui oleh sekretariat itu iaitu, memastikan kelangsungan hidup peniaga mikro, membantu peralihan usahawan daripada syarikat sederhana ke syarikat besar, memacu dan memecut perkembangan syarikat besar ke peringkat global serta melahirkan Technopreneur Bumiputera untuk teknologi masa hadapan.

Ahli jawatankuasa sekretariat juga katanya, bersetuju untuk menggalakkan penglibatan profesional dan usahawan berjaya daripada pelbagai latar belakang dan lapisan umur untuk turut bersama menyumbang idea serta pandangan di dalam sekretariat bagi memastikan agenda untuk dilaksanakan berjaya.

Tambah beliau, turut diadakan iaitu sesi libat urus bersama agensi-agensi terlibat secara langsung dalam industri halal dan keusahawanan pada masa terdekat bagi memenuhi kehendak industri dan juga keperluan rakyat.

Sekreteriat juga katanya, akan merangka dan melaksanakan program yang berimpak tinggi kepada pemegang taruh. – MalaysiaGazette