Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Perbaharaan Dasar, Datuk Zamzuri Abdul Aziz (dua,kanan) dan Timabalan Ketua Setiausaha Perbendaraan Pelaburan, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin (dua, kiri) bergambar bersama warga agensi-agensi yang terlibat pada Majlis Dukumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 MEI 2023.

PUTARAJAYA – Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat, negara telah melakukan kesilapan dalam melaksanakan dasar strategi subsidi dan ia perlu diperbetulkan agar hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.

Beliau menjelaskan, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar kerana selama ini ia turut dinikmati golongan kaya secara bersama.

Menurutnya, tiada negara lain di dunia ini yang memberikan subsidi yang sama rata antara golongan kaya dan miskin kecuali Malaysia sahaja.

“Malaysia telah tersilap beri subsidi di mana orang miskin patut diberi subsidi yang lebih dan bukan mereka yang kaya. Golongan miskin yang perlu dibantu.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kerajaan perlu membetulkan strategi dan dasar ini. Malah tiada negara di dunia yang beri subsidi begini kecuali Malaysia.

“Orang kaya sikit-sikit boleh dapat subsidi kerana pendapatan mereka cecah RM20,000 sebulan. Dari sudut tertentu, ada juga pelepasan cukai tertentu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Perbaharaan Dasar, Datuk Zamzuri Abdul Aziz (dua,kanan) dan Timabalan Ketua Setiausaha Perbendaraan Pelaburan, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin (dua, kiri) bergambar bersama warga agensi-agensi yang terlibat pada Majlis Dukumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 MEI 2023.

Beliau ditanya langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar yang mana faedah yang akan dinikmati oleh golongan T20.

Ketika ini subsidi bersasar telah dilaksanakan kerajaan termasuk kepada kumpulan T20 melibatkan kos menunaikan ibadah haji dan subsidi elektrik.

Semalam di Dewan Rakyat, Ahmad memberi Kementerian Kewangan (MoF) telah menyiapkan mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi bersasar sebanyak 75 peratus selesai setakat ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan berhubung mekanisme itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa kemudiannya akan dibentangkan di Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.

Ahli Parlimen Pontian itu turut tidak menolak kemungkinan perincian mengenai mekanisme itu akan diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan 2024. – MalaysiaGazette