KUALA LUMPUR – Bintang pecut olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mencipta sensasi apabila berjaya melakukan catatan 10.04 saat (s) di peringkat suku akhir Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 – Pusingan Pertama Timur di Florida, Amerika Syarikat pagi tadi.
Namun catatan yang dilakukannya dalam acara 100 meter (m) di Stadium Hodges itu masih gagal melayakkan dia yang berusia 19 tahun ke peringkat separuh akhir,
Azeem menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 24 peserta di belakang atlet mewakili Louisiana Tech, Rodney Heath Jr yang melakukan catatan 9.99s.
Sementara itu, walaupun catatan itu melepasi rekod kebangsaan dilakukannya sebelum ini iaitu 10.09s namun ia tidak boleh diiktiraf disebabkan faktor bantuan angin.
“Walaupun saya tidak dapat layak ke peringkat kebangsaan, saya masih berbangga dengan diri saya. Allah adalah sebaik-baik perancang. Musim yang masih panjang di depan, saya akan kembali,” kata Azeem dalam akaun Twitter miliknya.
Atlet mewakili Louisiana State University, Da’Marcus Fleming menemui garisan penamat di tempat pertama dengan catatan 9.85s manakala Cole Beck (Virginia Tech) berada di tempat kedua, 9.87s.
Meskipun berada dalam keadaan kurang cergas, Azeem berjaya menamatkan saringan pusingan pertama itu dalam kelompok tiga pelari terpantas dengan catatan 10.21s. – MalaysiaGazette