Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bergambar beramai-ramai bersama timbalannya, Teo Nie Ching selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 di Tasik Simfoni, KLCC. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Telegram gagal memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi membincangkan isu penyalahgunaan platform media sosial itu yang dilihat semakin membimbangkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihak pengurusan Telegram telah dipanggil sejak Januari yang lalu namun sehingga kini gagal memberikan respons.

“Pihak SKMM sebenarnya telah bertemu dengan hampir semua penyedia perkhidmatan platform media sosial, pertemuan terkini bersama Meta yang menguruskan Facebook, Instagram dan Whatsapp. TikTok juga ada. 

“Kebanyakan platform ini memberikan kerjasama, kita cuma hadapi masalah dengan pihak Telegram. Walaupun dijemput untuk bertemu hingga hari ini enggan memberi kerjasama,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023  di Taman KLCC.

Katanya, pihaknya menerima aduan tentang pelbagai salah guna platform Telegram selain daripada penipuan dalam talian (scammer).

Fahmi turut mendedahkan aduan baru daripada Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melibatkan penjualan point untuk doktor menerusi platform berkenaan.

“Penjualan point ini berlaku bila mana doktor-doktor yang setiap tahun yang setiap tahun perlu ikuti persidangan, seminar, kursus-kursus bagi kemajuan kerjaya mereka.

“Tetapi didapati ada pihak yang cuba menjual point begitu, jadi kita lihat bukan hanya dalam isu seperti ini tapi saya difahamkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti jualan dadah, sebaran pornografi dan scam (penipuan dalam talian),” ujarnya.

Justeru Fahmi berkata  beliau telah mengarahkan SKMM untuk mempertimbangkan tindakan selanjutnya terhadap Telegram untuk menangani isu tersebut, yang dijangka akan diumum dalam masa yang terdekat.

“Kita lihat ini akan jadi isu maka saya telah minta SKMM meneliti apakah tindakan yang wajar untuk diambil kerana aduan yang kita terima banyak, kita tidak lihat ada kesungguhan di pihak telegram untuk memberikan kerjasama,” tambah beliau.

Sementara itu beliau berkata pihak KKD, SKMM dan pihak berkuasa yang lain seperti polis termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau perkembangan platform media sosial dalam negara khususnya melibatkan keselamatan siber negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast