Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap pada pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 di Tasik Simfoni, KLCC. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membuat  beberapa pengumuman berkaitan hala tuju industri media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Pengumuman tersebut akan disampaikan pada hari kemuncak Hawana pada jam 3  petang, esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir menyampaikan ucaptama dan dijangkakan ada beberapa pengumuman yang akan disampaikan pada waktu itu.

“Kita banyak membincangkan hala tuju industri media yang berhadapan dengan tekanan dari segi ekonomi, banyak media yang dulu menerbitkan surat khabar tapi sekarang hanya secara online yang memberi kesan dari segi ekonomi dan kepada wartawan. Aspek ini diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, Fahmi melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Taman KLCC.

Mengulas lanjut,  beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD)  juga sedang meneliti hala tuju dan perkembangan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia melibatkan kebajikan industri media.

“Ada beberapa perkara yang diamalkan di negara lain  kita sedang teliti termasuk isu menjaga kebajikan dan kelestarian industri media ini. Sekiranya ada aspek kita boleh contohi, kerajaan akan merangka dasar yang bersesuaian.

Malaysia berada pada kedudukan ke-73 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF).

Kedudukan itu adalah paling tinggi dalam sejarah negara dan ia membanggakan kerajaan.

Oleh itu, kebebasan media perlu diperkukuh dan rakan media wajar diberi ruang secukupnya bukan hanya dari segi kebebasan tapi isu ekonomi juga, jelasnya.

Sambutan Hawana 2023  diadakan di Ipoh bermula hari ini hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sambutan ini meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast