Onn Hafiz Ghazi hadir di majlis pembukaan kilang JStar Motion di Kulai hari ini.

KULAI –  Johor menerima pelaburan bernilai RM300 juta menerusi pembukaan empat kilang pembuatan milik syarikat JStar Motion Sdn. Bhd. (JStar) di I-Park, Indahpura, di sini.

Malah, syarikat berkenaan komited untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,  kemasukan pelaburan oleh syarikat yang telah beroperasi sejak 2019 itu turut menawarkan sebanyak 600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Johor adalah terbuka kepada menerima pelaburan termasuk syarikat asing kerana pelaburan sedemikian memberi situasi menang-menang, termasuklah menawarkan peluang pekerjaan dan pertukaran teknologi.

“Banyak syarikat ternama akan terus membuat pelaburan di negeri ini,” beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan kilang pembuatan syarikat itu, di Kulai hari ini.

Onn Hafiz berkata, kemasukan pelaburan syarikat asing juga selari dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor sebuah negeri berstatus maju menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Pengarah JStar, Tony Wong berkata, pihaknya membuat pelaburan di Johor  atas kepercayaan terhadap pembangunan ekonomi yang disediakan kerajaan negeri dan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memacu hasrat kerajaan Johor dalam meningkatkan ekonomi negeri ini, sekali gus mencapai  status negeri Johor terus maju dalam tempoh beberapa tahun akan datang.- MalaysiaGazette

 

Caption: Onn Hafiz Ghazi hadir di majlis pembukaan kilang pembuatan di Kulai hari ini.