Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) dalam radar perbincangan berhubung saranan menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga memandang serius saranan tersebut dan berpandangan ia mestilah selari dari segi kualitifikasi bermakna integriti kualiti dan perkhidmatan perguruan yang menjadi tumpuan KPM.

“Kita ambil pandangan itu secara serius dan saranan berkaitan kenaikan gaji penjawat awam seperti mana yang diumum Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan jadi tumpuan awal sebaik saja ekonomi negara pulih. Ia juga tidak lari daripada hasrat KPM yang melihat perkara sama.

“Kita sedang berada dalam radar perbincangan (saranan itu) dan dalam konteks untuk menaikkan gaji guru serta dari segi kualitifikasi maknanya integriti kualiti dan perkhidmatan perguruan, ini menjadi tumpuan kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Sabri Said.

Fadhlina, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung kerajaan disaran menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berusaha memperkemaskan diri bagi memantapkan lagi pendidikan demi anak bangsa.

Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr  Anuar Ahmad dilaporkan berkata ketika ini gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD) adalah sama dan ia wajar untuk dikaji semula.

Beliau turut dilaporkan berkata, kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi agar mereka dapat merasakan pentingnya untuk sambung belajar bukan sahaja menambah ilmu, sebaliknya boleh meningkatkan gaji dalam bidang yang diceburi.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi galakan dan tiada sebarang halangan untuk guru menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana intergiriti perguruan dan kualiti guru juga meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya ingat dari segi guru nak sambung pelajaran tidak jadi halangan malah kita menggalakkan, saya juga membuka ruang yang luas untuk mereka (sambung belajar) lagipun guru sekarang ini sangat berkelayakan dan terlatih dalam bidang mereka,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast