IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan permulaan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana.
Dana itu bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan keuzuran serta kesukaran hidup.
“Ada pengumuman kecil yang saya diminta untuk umum iaitu mengenai Tabung Kasih@HAWANA. Sebagai permulaan, saya luluskan RM1 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.
Majlis berkenaan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Tabung itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan ia dilaksana menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Hari ini, seramai tiga penerima dalam kalangan wartawan veteran yang sakit dan mengalami kesukaran hidup menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA.
Hawana 2023 bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” bakal melabuhkan tirainya esok dengan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan. – MalaysiaGazette