IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik dan mengenakan caj penggunaan 20 sen pada Sabtu setiap minggu bermula 1 Jun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keputusan pelaksanaan kempen itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dalam kalangan warga Ipoh khasnya dan masyarakat Perak amnya demi menjamin kelestarian alam sekitar.
“Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI telah menganjurkan sesi libat urus bersama peniaga pada 18 Mei lepas melibatkan 120 peniaga dan daripada jumlah itu, 22 (18 peratus) premis perniagaan telah mendaftar sebagai Premis Bebas Beg Plastik.
“Premis yang terlibat merangkumi pasar raya besar, pasar raya dan kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai rangkaian serta farmasi. Sebanyak 1,378 premis terlibat dalam program ini dan kutipan caj beg plastik ini akan dilaksanakan melalui pengeluaran syarat-syarat tambahan dalam lesen atau permit perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rumaizi berkata, kempen itu juga bagi menyokong usaha kerajaan Persekutuan melalui satu dasar seragam Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang dilancarkan pada 17 Okt 2018.
“Premis yang membekalkan dan mengenakan caj 20 sen kepada pengguna akan menerima Sijil Penyertaan Premis Hari Tanpa Beg Plastik Percuma, manakala premis yang tidak bekalkan beg plastik pula akan menerima Sijil Premis Bebas Beg Plastik.
“Kesemua peserta yang menerima sijil perlu mempamerkannya di premis perniagaan masing-masing untuk memastikan kempen ini berjalan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata, kutipan caj 20 sen yang dikenakan akan diserahkan kepada MBI untuk digunakan bagi melaksanakan program-program kelestarian alam sekitar, pameran taklimat kepada pelajar sekolah dan masyarakat selain kempen kitar semula. – Bernama