Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi .

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan Presiden Pas yang mahu memimpin Kerajaan Perpaduan sekiranya partinya mahu bekerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan ketika ini.

Menurutnya, bagaimana Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh menjadi Perdana Menteri sedangkan isu air di Kelantan iaitu negeri yang ditadbir parti itu sejak sekian lama pun gagal diselesaikan.

“Menurut Hadi, Pas boleh sertai Kerajaan Perpaduan asalkan Pas diberikan kelebihan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

“Maksudnya Pas mahu jawatan PM. Memang dari logik politik, Pas dapat jawatan PM. Pas ada 43 kerusi berbanding PKR 30 kerusi. Mana boleh Pas jadi ‘kepala ular yang dikecilkan’.

“Tetapi bolehkah pemimpin Pas jadi PM? Di Kelantan sudah berabad Pas memerintah. Masalah bekalan air tidak selesai juga. Bagi pula bonus kepada staf AKSB. Tidak sensitif langsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Baru-baru ini Abdul Hadi mendakwa dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan, tawaran itu sepatutnya memberi kelebihan kepada Pas kerana mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain.

Namun, katanya, perkara itu tidak berlaku kerana Pas hanya berfungsi untuk menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Jelasnya, jika Pas yang mempunyai kerusi lebih daripada parti lain, parti Islam itu mempunyai hak untuk memimpin negara. – MalaysiaGazette