Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua kiri) bersama Pengerusi QSR Brands Holdings Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim (dua kiri) menunjukkan menu RAHMAH KFC dan Pizza Hut selepas pelancarannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2023.

KUALA LUMPUR — Syarikat makanan segera di bawah QSR Brands, KFC dan Pizza Hut kini turut serta menawarkan Menu Rahmah dengan kualiti premium pada harga RM5.

Hidangan Menu Rahmah KFC Meal adalah seketul ayam, roti butterscotch beserta air mineral manakala hidangan bagi Pizza Hut Meal adalah Personal Piza beserta air mineral.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, hidangan itu boleh dinikmati di restoran KFC dan Pizza Hut seluruh negara.

Menu RAHMAH KFC dan Pizza Hut yang berharga RM5 selepas pelancarannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2023.

“Ia boleh dibeli di 1,277 rangkaian kedua-dua restoran kecuali di Lapangan Terbang, Genting Highlands dan Legoland bagi Menu Rahmah KFC Meal.

“Menu Rahmah Pizza Hut juga boleh didapati di semua rangkaian restoran kecuali di Pizza Hut (PHX) RSA Pagoh dan Genting Highlands bagi Menu Rahmah Pizza Hut Meal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nechal Khanna.

KFC dan Pizza Hut merupakan syarikat ke-3,000 yang secara rasminya didaftar di bawah Inisiatif Rahmah.

Sementara itu, Khanna dalam ucapannya berkata, pelancaran Menu Rahmah itu dilihat sebagai peluang bagi memberi sumbangan kepada masyarakat.

“QSR percaya bahawa inisiatif Menu Rahmah sangat penting dan tepat pada masanya. Ia adalah program yang pragmatik dan boleh dilaksanakan dan kami melihatnya sebagai langkah kritikal untuk membantu menyokong komuniti dalam masa yang agak mencabar ini.

“Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana dapat melakukan bahagian kami untuk masyarakat melalui Menu Rahmah.

“Kami berharap Menu Rahmah daripada KFC dan Pizza Hut ini akan lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette