Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari  Abdul Ghani dicadangkan sebagai Menteri Kewangan II bagi membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sungguh pun Anwar seorang yang berbakat namun beliau turut dibebani tanggungjawab besar sebagai Menteri Kewangan yang memerlukan banyak keputusan teliti untuk dibuat.

“Sebab saya dari awal saya kata PMX (Anwar) adalah ahli politik yang berbakat tapi tak kira betapa berbakat pun anda, tak ada seorang pun individu yang boleh melaksanakan kedua-dua tugas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara penuh.

“Percakapan yang saya dengar daripada Perbendaharaan banyak fail dan keputusan mula bertimbun. Jadi saya berpendapat jika anda mahukan Menteri Kewangan II yang baik dan tak mahu lantik kalangan profesional (lantik Johari),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast ‘Keluar Sekejap’ dengan Shahril Hamdan sebagai pengacara bersama yang disiarkan di media sosial hari ini.

Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan dalam Keluar Sekejap

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini terdapat perdana menteri yang turut memegang jawatan menteri kewangan melantik menteri kewangan II.

Pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas memecat Anwar beliau telah melantik Datuk Seri Mustafa Mohamad sebagai Menteri Kewangan II.

Begitu juga pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Tan Sri Nor Mohd Yaakob sebagai Menteri Kewangan II.

Malah ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menjadi menteri kewangan II pada penggal pertama dan Johari pada penggal kedua.

“Kenapa? Menteri kewangan ini dia ada banyak keputusan dan dokumen yang perlu ditandatangani setiap hari. Dalam banyak akta yang ada hubung kait dengan perbendaharaan disebutkan menteri. Maksudnya Menteri Kewangan. Dia tak boleh beri kepada timbalan menteri.

“Menteri kewangan II adalah menteri penuh. Dia ada dalam Kabinet walaupun dia adalah Menteri Kewangan II.

“Dia ada ada kuasa terhad, mungkin Menteri Kewangan akan kata untuk macam ini rujuk kepada saya, lain awak boleh putuskan,” kata KJ.

Khairy mencadangkan Anwar melantik Johari yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Menteri Kewangan II selepas pilihan raya di enam negeri selesai.- MalaysiaGazette