Harga gula di Malaysia sepatutnya mengalami penurunan selepas harga gula putih dunia menjunam.
Bekalan semua jenis gula sepatutnya mencukupi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan bekalan semua jenis gula mencukupi supaya tidak ada pihak yang akan menangguk di air keruh.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengguna mempunyai hak untuk membuat pilihan daripada pelbagai jenis gula, bukannya hanya terhad kepada gula putih bertapis sahaja.

“FOMCA turut risau jika pengenalan gula yang baharu ini akan membuka peluang untuk sesetengah pihak mengaut untung.

“Gula putih bertapis jernih ini adalah untuk memberi banyak pilihan kepada pengguna tetapi macam mana nak ada pilihan jenis gula kalau gula yang pengguna biasa guna pun, ada sesetengah negeri yang kurang bekalannya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Ujar beliau, seluruh negeri sepatutnya tidak berhadapan dengan masalah bekalan gula putih yang berisiko membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

“Kalau betul untuk mempelbagaikan pilihan gula, pihak penguatkuasa perlu memastikan semua jenis gula adalah cukup bekalannya di setiap negeri,” ujarnya.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan gula putih yang sedang berlaku.

Dilaporkan kerajaan telah membenarkan dua syarikat pengeluar gula tempatan MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran itu akan memberikan pilihan gula kepada pengguna, selain gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada yang disifatkan sebagai ‘gula rakyat’.-MalaysiaGazette