Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya mengutip sejumlah RM993,770 hasil lelongan 94 daripada 100 buah kenderaan sita dalam lelongan awam siri pertama tahun ini.

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya mengutip sejumlah RM993,770 hasil lelongan 94 daripada 100 buah kenderaan sita dalam lelongan awam siri pertama tahun ini.

“Lelongan tertinggi dicatatkan ialah RM50,100 bagi sebuah kereta jenis Subaru Imprezza yang dibuka bidaan permulaan sebanyak RM11,300,” kata Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin.

Tambah beliau, lelongan terendah bernilai RM200 bagi sebuah kereta jenis Proton Saga 1.3s iaitu kenderaan yang tidak boleh dilesenkan.

Menurut Kamarul, lelongan kali ini membabitkan 42 buah kereta, 27 kenderaan pelbagai guna (MPV), 24 motosikal, dua buah van, dua buah kenderaan pick up dan masing-masing sebuah lori, penggerak utama (prime mover) dan semi treler.

“Daripada 100 buah kenderaan itu, 19 merupakan kenderaan scrap yang tidak boleh dilesenkan iaitu enam motosikal, enam kereta, tiga MPV, dua kenderaan pick up, sebuah lori dan penggerak utama,” jelasnya.

Siri lelongan awam itu bermula 10 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks JPJ Negeri Pahang, Bandar Indera Mahkota hari ini.

JPJ Pahang dalam lelongan awam siri kedua tahun lepas berjaya memperoleh RM709,500 hasil lelongan 60 kenderaan sita dengan lelongan tertinggi iaitu RM42,000 bagi kereta Mercedes SLK200. – MalaysiaGazette