KOTA TINGGI – Kapal pengangkut yang membawa besi buruk dan peluru meriam berusia lebih 80 tahun dipercayai zaman Perang Dunia Kedua yang ditahan Ahad lalu, disyaki terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kira-kira 100 butir peluru peluru dipercayai masih aktif ditemui dalam kapal pengangkut berdaftar dari Fuzhou, China itu.
Kelmarin, kapal itu ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut pada jam 12.45 tengah hari.
Mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia ketika diperiksa bot ronda APMM yang sedang melaksanakan operasi rutin di perairan Johor timur.
Hasil pemeriksaan, kapal itu dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berusia antara 23 hingga 57 tahun.
Nurul Hizam berkata, APMM bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal itu.
Operasi bermula pukul 8 pagi itu berakhir sekitar pukul 4 petang melibatkan dua buah aset Maritim Malaysia bersama 15 pegawai dan anggota serta 12 anggota unit Pemusnah Bom IPK Johor.
Kesemua peluru pelbagai saiz yang ditemui telah diambil dan dibawa oleh Unit Pemusnah Bom PDRM untuk dimusnahkan.
Laporan lanjut berkaitan penemuan ini akan dikeluarkan oleh pihak PDRM. – MalaysiaGazette