Seorang Individu, Mohd Rasdan Mohd Yusof bercakap kepada media mengenai memohon sesiatan terhadap dakwaan penerimaan dana oleh pihak Perikatan Nasinal daripada syarikat perjudian di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Seorang individu tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini menggesa siasatan terhadap dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana wang judi ketika mentadbir kerajaan sebelum ini diteruskan.

Mohd Rushdan Mohd Yusof, 52, berasal dari Klang yang bekerja sendiri tiba di Ibu Pejabat SPRM itu sekitar pukul 9.35 pagi tadi.

“Saya mempunyai bukti dan maklumat yang akan disalurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan lanjut. Saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, hanya datang sebagai rakyat Malaysia dan dalam keadaan kemelut politik sekarang, saya rasa ia patut dihentikan.

“Saling tuduh menuduh antara satu sama lain dan meminta bukti, jadi saya datang dengan bukti,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum memasuki bangunan SPRM.

Menurut Mohd Rushdan, bukti itu diterima dari sumber yang boleh dipercayai dan akan disokong dengan beberapa dokumen sulit.

Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan siasatan SPRM mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, katanya, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Pada 5 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya bebererapa parti datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi. -MalaysiaGazette