Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan terhadap sekumpulan penuntut yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia susulan laporan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Laporan dibuat susulan tuntutan oleh penuntut-penuntut tersebut melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan pada 30 Julai 2019 yang melibatkan anggaran melebihi US$32 Bilion.

“Tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Acryl Sani, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 124(K) Kanun Keseksaan iaitu sabotaj.

“Polis memandang serius terhadap sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara,” katanya lagi.

Pada 26 Mei lalu, BHEUU JPM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terhadap penuntut-penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Menurut kenyataan Sekretariat Khas JPM, laporan tersebut dibuat susulan tindakan tuntutan difailkan oleh penuntut-penuntut itu melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi US$32 bilion.

Kenyataan itu menyebut rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Salah seorang penuntut, Fuad A. Kiram juga diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast